15 JUN 2012/25 REJAB
1433H
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Rejab yang
mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah
sama-sama kita mengukuhkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dan
keluarga kita berjaya menjadi insan soleh serta mendapat perlindungan Allah SWT
di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah
bertajuk: “GAGASAN
ISRA’ MIKRAJ”.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Kini
kita berada dipenghujung bulan Rejab, mengingatkan kita satu mukjizat teragong iaitu
peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum Nabi Muhammad
SAW berhijrah ke Madinah. Dalam peristiwa ini, atas kekuasaan dan kehendak
Allah SWT, Nabi Muhammad SAW diiringi Malaikat Jibril diperjalankan pada waktu
malam hari berangkat dari masjidil Haram di Makkah menuju ke masjidil Aqsa di
Baitul Muqadis di Palestin dan kemudiannya di angkat mengadap Allah SWT di Sidratul
Muntaha. Kalau mengikut perkiraan moden hari ini, peristiwa ini berlaku dalam
tempoh satu malam iaitu kira-kira 12 jam. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1:
Bermaksud: “ Maha Suci Allah yang telah
menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang
Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Tugas utama Nabi Muhammad SAW dan rasul adalah untuk
membina diri manusia supaya berakhlak mulia dan beramal soleh. Pembangunan diri
manusia, pembangunan insan adalah menjadi tonggak segala pembangunan yang lain.
Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah manusia itu boleh membangunkan akhlak
yang mulia ?. Inilah yang perlu difahami dan dipelajari dalam peristiwa Isra’ Mikraj
. Dalam peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW telah dibawa untuk
melihat setiap kelakuan manusia samada yang nyata atau ghaib yang terdapat di
bumi dan di tujuh lapis langit serta bertemu dengan Allah SWT. Menurut ahli
tafsir seperti Ibnu Kathir, menyatakan Nabi Muhammad melihat Allah SWT secara
mata hati dan menerima perintah melaksanakan program solat fardhu 5 waktu
sehari semalam secara terus dari Allah SWT. Inilah gagasan terbesar Allah SWT
memanggil mengadap Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha. Manakala perintah
melakukan ibadah-ibadah wajib yang lain disampaikan Allah SWT melalui malaikat
Jibril.
Berdasarkan gagasan Isra’ Mikraj
ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah program utama yang Allah
fardhukan kepada umat Islam. Solat fardhu menjadi perintah utama kerana ia menjadi
ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi
tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan azab kubur. Selain
itu kualiti solat ini juga akan menentukan
kualiti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.
Terdapat perkaitan yang kuat
bahawa jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun
mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat
adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu. Firman
Allah dalam surah al-Ankabut Ayat 45 :
Maksudnya: “ Sesungguhnya sembahyang
itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati
Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah
mengetahui akan apa yang kamu kerjakan .”
Jika solat itu dibuat secara lalai maka ia boleh
mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap kelakuan seseorang. Firman
Allah dalam surah al-Maa’un, ayat 5,
Maksudnya: “Maka
kecelakaan besar bagi orang yang Sembahyang. (Iaitu)
mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. ”
Apa yang dimaksudkan lalai di sini ialah, mereka
yang melakukan solat tidak menyedari bilangan rakaatnya, malas melakukan solat
sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru
melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat di awal waktu. Memandangkan
solat ini adalah perintah Allah SWT, maka pelaksanaan solat hendaklah
dilaksanakan secara khusyuk
mengikut peraturan tertentu. Solat yang hakiki akan melindungi seseorang
daripada melakukan perbuatan berdosa. Solat yang hakiki adalah solat yang
dilakukan secara khusyuk. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perbezaan antara manusia dan
perbezaan antara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat. ” (Riwayat Muslim)
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,
Walaupun kita tidak dapat bertemu dengan Allah SWT
seperti yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW tetapi berdasarkan gagasan Isra’
Mikraj ini kita dapat bertemu dan berhadapan dengan Allah SWT di dalam solat
dengan syarat, pertama: hati kita sepenuhnya mengingati Allah dengan
menghindari dari penyakit syahwat atau bisikan duniawi kedua: hati kita
sentiasa mengagungkan Allah SWT dan merasa Allah sentiasa melihat diri kita dan
ketiga: hati kita sentiasa meresapi makna-makna ayat al-Quran yang di
baca dalam solat.
Menurut Imam Ghazali, antara
amalan untuk membentuk solat yang khusuk ialah pertama: memastikan
sumber rezeki itu adalah halal, Kedua: mendirikan solat seolah-olah akan
menghadapi kematian pada esok hari, ketiga: mendirikan solat pada awal
waktu, Keempat: memahami pengertian bacaan dalam solat, kelima:
mengambil wudhu’ dengan sempurna dan pakaian bersih dan keenam: memiliki
sifat malu kepada Allah SWT jika perlaksanaan solat itu tidak sempurna. Berdasarkan
pemerhatian mimbar, akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral yang dideritai
oleh segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk
menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Mereka ini
melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan berdosa.
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah
Serangan gejala sosial dalam pelbagai bentuk di negara
ini menyebabkan kita kadangkala hilang pedoman untuk mengatasinya. Isu-isu
seperti pelacuran, pembuangan bayi, dadah, arak dan yang terkini LGBT semakin
menjadi-jadi dan membimbangkan. Mimbar amat yakin pelaksanaan solat yang khusyuk
berupaya menjadi benteng, mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak umat Islam dalam
menghadapi serangan gejala sosial ini. Gagasan dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj
ini hendaklah kita tauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin,
insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai
kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa.
Oleh itu Sempena memperingati peristiwa Isra’
Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka mimbar menyeru para jemaah dan
umat Islam sekalian, marilah kita melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk dan sempurna agar ia mampu membangunkan generasi dan
keluarga kita menjadi insan yang soleh selari dengan gagasan Isra’ Mikraj. Mimbar
juga menyeru para jemaah sekalian bersempena dengan bulan Rejab yang mulia ini
marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadat kita seperti melakukan ibadat
puasa, bersedekah dan sebagainya, mudah-mudahan segala amalan kita diterima
sebagai amal soleh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah SWT akan muliakan kamu
dengan seribu kemuliaan di hari kiamat ” .Sebagai
renungan, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah
an-Nisaa’, ayat 142:
Maksudnya:“ Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya
terhadap Allah, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka pula
apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka riak
kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit
sekali.”
No comments:
Post a Comment