“ ISLAM DAN HUBUNGAN ANTARA PENGANUT AGAMA ”
(10 FEBRUARI 2012/ 17 RABIULAWAL 1433H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “ ISLAM DAN HUBUNGAN ANTARA PENGANUT AGAMA”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan hubungannya dengan penganut agama lain. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik. Dengan itu Allah SWT mengajarkan konsep toleransi yang bertujuan untuk mewujudkan perdamaian umat manusia di muka bumi ini. Firman Allah SWT di dalam surah Al-An’aam ayat 108:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Menurut Imam ar-Razi ; Ayat ini merupakan satu pendidikan kepada orang yang ingin berdakwah kepada agama Allah SWT dengan tidak melakukan tindakan yang tidak ada faedah dalam mencapai tujuan dakwah. Begitu juga pandangan Imam al-hakim di dalam kitabnya tafsir Mahasin at-Takwilbahawa cercaan terhadap orang bukan Islam akan membawa kepada kejahatan yang lebih besar iaitu celaan penganutnya terhadap Allah SWT. Justeru sebagai umat Islam kita ditegah mencemuh atau mengejek kerana dikuatiri mereka akan membalas penghinaan tersebut. Namun sekiranya mereka melanggari hak-hak kita sebagai orang Islam maka hendaklah kita mempertahankan demi kemulian dan kehormatan umat Islam.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 54:
Maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu yang murtad, maka Allah akan datangkan suatu kaum yang Ia kasihi dan mereka juga kasihkan-Nya mereka bersifat lemah-lembut terhadap orang yang beriman dan tegas terhadap orang kafir, mereka berjuang pada jalan Allah, dan mereka tidak takut celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya .”
Inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam. Islam mengajar kita agar bersikap merendah diri, sabar, bertoleransi namun dalam masa yang sama kita mesti bersikap tegas terutamanya dalam isu-isu yang menyentuh akidah, syariat dan syiar umat Islam. Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.
Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Allah SWT mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama lain. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan akidah. Sebaliknya jika hak Islam digugat, maka baharulah Islam mengizinkan umatnya bertindak mengikut lunas-lunas sebagaimana yang digariskan oleh syara’.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Ayat ini juga menjelaskan bahawa Islam memerintahkan agar umatnya bertoleransi dan menghormati penganut agama lain. Oleh yang demikian, sebarang tindakan kekerasan terhadap masyarakat bukan Islam dengan alasan berbeza agama adalah tidak dibenarkan secara syariat.
Penghormatan terhadap masyarakat bukan Islam juga telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW. Peristiwa ini dapat kita hayati menerusi sirah Nabawiyah. Perhatikanlah ketika peristiwa Piagam Madinah yang terkenal di dalam sejarah Islam. Baginda telah menyeru umat Islam agar sentiasa menjaga hak keharmoniaan manusia sekalipun kepada bukan Islam.Ia merupakan lambang keadilan Islam terhadap umat manusia keseluruhannya. Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu Daud).
Seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi ini. Namun, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah di dalam muamalah harian di samping akhlak yang baik mampu menjadi satu dakwah mereka kepada Islam yang suci.
Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Bersempena dengan Bulan Keharmonian antara Penganut Agama yang disambut pada setiap minggu pertama bulan Februari, yang mana ianya bertujuan untuk mewujudkan keharmonian antara penganut agama sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik dunia, maka mimbar menyeru kepada umat Islam sekalian agar sama-sama kita melaksanakan seruan Baginda SAW agar sentiasa bermuamalah dengan baik kepada siapa sahaja termasuklah orang-orang bukan Islam. Marilah kita mencontohi akhlak Baginda SAW ketika berurusan dengan bukan Islam selagi mana mereka tidak menceroboh hak-hak kita sebagai orang Islam.
Menerusi akhlak dan sikap toleransi kita ini, insyaAllah dengan izin Allah SWT masyarakat bukan Islam akan tertarik dengan medan dakwah bil hal kita. Semoga dengan itu, kita mampu menterjemahkan Islam sebagai agama “Rahmatan lil ‘Alamin” . Marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama Islam dan meningkatkan dakwah kepada bukan Islam menerusi toleransi dan kemuliaan akhlak kita seperti yang digariskan oleh Islam. Menerusi pendekatan ini ianyanya akan mampu melenyapkan salah faham mereka terhadap Islam selama ini.
Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah al-Imran ayat 64:
Maksudnya:“Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam.”
No comments:
Post a Comment