“ISLAH DAN INTEGRITI”
(07 DISEMBER 2012 / 23 MUHARAM 1434H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Saya menyeru dan berpesan
kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama
meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala
suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan
di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “ISLAH DAN INTEGRITI”.
Muslimin Yang Dikasihi
Sekalian,
Berdasarkan kepada kamus Idris al-Marbawi
islah memberi maksud sebagai kebaikan atau pembaikan. Dalam konteks yang
lebih luas ianya membawa makna perubahan ke arah kebaikan. Walaupun perubahan
boleh di lihat daripada pelbagai sudut, seperti perubahan dari satu tempat ke
satu tempat lain, perubahan dalam profesion atau pekerjaan atau mungkin juga
perubahan daripada satu ideologi kepada ideologi lain. Namun apa yang paling penting
di sini ialah perubahan sahsiah setiap individu manusia kepada suatu keadaan
yang lebih baik khususnya melalui penghayatan sifat mahmudah dan integriti yang
sangat dituntut oleh agama Islam. Mimbar ingin menyatakan bahawa sahsiah atau
peribadi mulia hanya dapat dibina melalui pengorbanan setiap insan dengan
semangat yang kental untuk melakukan kebaikan. Firman Allah SWT di dalam surah
Al-Baqarah ayat 148;
Maksudnya: “ Dan bagi setiap umat ada
kiblat yang dihadapkannya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan
kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu
semua (pada hari Kiamat); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Muslimin Yang Dikasihi
Sekalian,
Islah dan penghayatan integriti boleh
mengambil semangat hijrah yang menjadi penanda aras dalam membina tamadun
Islam. Hijrah juga adalah suatu proses bagaimana Rasulullah SAW mempersiapkan
asas dan landasan terbaik untuk membolehkan kebaikan yang ada di dalam agama
Islam itu sendiri dilaksanakan. Mimbar ingin menegaskan bahawa perubahan yang
paling penting daripada proses ini adalah penyucian diri (tazkiatun nafs),
membersihkan sifat syirik dan segala penyakit hati yang merosakkan tauhid dan
nilai kemanusiaan. Demikianlah juga penghayatan integriti yang mengajak kita
supaya meninggalkan semua sifat-sifat negatif atau mazmumah seperti membazirkan
masa, boros, ponteng kerja, tidak menepati janji, suka menangguhkan kerja
sehingga membawa kepada perkara yang lebih serius seperti penipuan, rasuah,
penyelewengan, salah laku dan salahguna kuasa.
Ingatlah bahawa manusia yang
berintegriti bukan sahaja memastikan diri dan keluarganya menjauhi segala
sifat-sifat mazmumah, bahkan akan sentiasa berusaha mengamalkan sifat-sifat
mahmudah yang selari dengan fitrahnya dan terangkum sebagai akhlak mulia yang
dituntut oleh Islam. Hujatul Islam Imam Ghazali telah memperincikan sebahagian
akhlak mulia antaranya sebagai penyabar, lemah lembut, bersyukur, redha,
ikhlas, murah hati, berkata benar, selain jujur, amanah dan bertanggungjawab. Mengulas
perkara ini, Dr Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa manusia
adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota badan yang lengkap dan
sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu,
pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus kehidupan. Semua kelebihan ini
memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang berkuasa di muka bumi
sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Mimbar ingin menegaskan bahawa
perubahan manusia ini jika dihalakan kepada kebaikan membawa banyak keuntungan.
Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti kita
akan tercalar. Renungilah pesanan
Rasulullah SAW daripada Jabir RA tentang kesungguhan iblis yang sentiasa
berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia iaitu:
Mafhumnya: “Singgahsana
iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah
(mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar
membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka”.
(Hadith riwayat Muslim)
Muslimin
Yang Dikasihi Sekalian,
Manusia yang
hilang integriti samada dari segi zahir atau batin akan merosakan hubungannya
dengan Allah SWT, sesama manusia, dan dengan makhluk Allah yang lain seperti
haiwan, tumbuh-tumbuhan serta alam persekitaran. Dalam al-Quran telah
dirakamkan beberapa individu yang tercemar integritinya seperti Firaun yang
zalim, penasihat kanannya yang korup iaitu Haman dan Qarun yang mengampu
Firaun. Begitu juga disebutkan beberapa kaum yang rosak integriti
kemanusiaannya lalu dihapuskan oleh Allah SWT dari muka bumi ini seperti kaum
Thamud umat Nabi Saleh, umat Nabi Lut dan kaum Aad umat Nabi Hud. Pendedahan
azab kaum-kaum tersebut di dalam al-Quran, berkait rapat dengan pencemaran
integriti yang paling tinggi iaitu mensyirikkan Allah SWT, maka sewajarnya azab
itu menjadi pengajaran kepada manusia.
Berdasarkan
kesan buruk yang menimpa umat terdahulu, jelas bahawa kaum yang tercemar
integritinya mempunyai kaitan dengan amalan seorang jahiliyah. Mohamad Qutb
dalam bukunya “Masyarakat Islam” menjelaskan terdapat empat ciri jahiliyah
iaitu: (1) Syirik dalam ibadah; (2) Wujud sikap menjauhi agama Allah; (3) Wujud
Taghut (penegak kesesatan) yang memujuk manusia agar jangan mematuhi
hukum Allah; dan (4) Menjatuhkan hukuman secara tidak adil kerana mengikut hawa
nafsu.
Muslimin
Yang Dikasihi Sekalian,
Mengakhiri
khutbah pada minggu ini,bersempena dengan bulan November sebagai bulan
intergriti, marilah sama-sama kita bermuhasabah dengan melakukan islah diri
kearah kebaikan, mengelak dari melakukan kemugkaran dan kemaksiatan di dalam
kehidupan. Ingatlah wahai para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa setiap
amal kita senantiasa diperhatikan oleh dua malaikat Raqib dan Atiq yang berada di kanan dan kiri kita
untuk melaksanakan tugas merekodkan amalan baik dan buruk yang kita lakukan
pada setiap masa. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam dengan melaksanakan
perubahan disamping memohon pertolongan dari Allah SWT. Ingatlah bahawa sebaik-baik manusia ialah
mereka yang melakukan kebaikan di sepanjang kehidupannya sebagaimana yang
disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umur
dan bagus amalannya.”( Hadith riwayat Ahmad )
Marilah
sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 9:
Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Qur'an ini
memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang
yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala
yang besar.”
No comments:
Post a Comment