Muslimin yang di Rahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada
Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong
di kalangan orang yang mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada
hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “WAJAH TERINDAH”.
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Islam
mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik
kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam
rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab
mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup
mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk
masa depan anak-anak. Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa dalam mendidik dan
membesar anak-anaknya sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, pertama: ketika
mengandung, kedua: Saat melahirkan dan ketiga: ketika kita masih
kecil sehingga dewasa. Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita, mungkin ada di antara kita ini ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya
dan mungkin ada yang masih lagi bersama kita di dunia. Cuba kita hayati
seketika mungkin pada saat dan ketika ini wajahnya telah kedut ditelan usia,
telah lesu kerana keletihan, namun diwajahnya tetap tersimpul senyuman yang
mengambarkan kasih sayang yang terpahat dihati mereka kepada kita.
Ingatkah kita semasa kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh
kedua ibu bapa, merekalah yang memberi susu, menyuap makanan, memandikan,
memakai pakaian, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala
kotoran di badan, menghantar kita ke
sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari. Ingatlah
wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan
sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi
dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu
adalah lahir dari kandungannya yang dijaga selama sembilan bulan.
Mimbar menyeru ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini,
harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan
mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan
mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita
sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini
sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa
mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan
Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya,
dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan
'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas
kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka
berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Tidak
dapat dinafikan bahawa kasih sayang
seorang ibu mengatasi segalanya. Tidak hilang dihati seorang ibu
perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak
dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan
anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi dipipinya
kerana mengenang dan merindui akan anak-anak. Mimbar mengingatkan, bilakah kali
terakhir kita bertemu dengan ibu, menatap wajah dan mencium tangan ibu?.
Rebutlah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat
selama-lamanya. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, pada hari ini ada di kalangan
anak-anak yang sibuk dengan jawatan, mengejar kuasa dan pangkat tiada
kesempatan masa untuk menziarahi ibu bapanya walaupun kepulangannya senantiasa
dinanti-nanti dengan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi kedua ibu bapa
merupakan satu tuntutan kepada seorang anak.
Mimbar ingin
menegaskan bahawa kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut
nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka
berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh
itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman
Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya
dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa
dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada
Akulah tempat kembalimu.”
Rasulullah
SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda :
Maksudnya: “Siapakah
yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu
bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya
kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa
lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.”(Riwayat al-
Bukhari)
Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya
kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa
serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan yang perlu
direnung oleh kita semua sebagai seorang anak, apakah mereka sudah menunaikan
kewajipan terhadap ibunya. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin
Mas’ud RA berkata bahawa beliau pernah
bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat
pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda:
Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi?
Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah”.
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Islam
menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi
suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari
perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar walau
hanya menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti
dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul
ibu bapa mereka. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud "Ada tiga
jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua
ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri,
kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya
dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling
mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Riwayat Ad
Dailami)
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As
RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda Baginda: Antara dosa
besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai
Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab
Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya
lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki
hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang melupai ibunya dan
durhaka setelah mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si anak itu diberi
balasan oleh Allah SWT di dunia ini.
Mimbar mengingatkan jemaah dan
umat Islam sekalian, bahawa menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya
masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam
arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari
amalan kita diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton kepada
roh ibu bapa kita. Oleh itu gembirakanlah roh ibu bapa kita dengan amalan soleh semasa kita
masih hidup di duna ini. Roh–roh ibubapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat
amalan anak-anak mereka terlibat melakukan maksiat seperti berzina, berkhalwat,
berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman,
penganiayaan dan lain lain. Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti
adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah
gunanya anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh
dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar. Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Sesungguhnya amal-amal kamu
dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau
amal perbuatan kamu itu baik
mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk
kamu dengan) berkata : ‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang
hidup itu hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah member hidayah petunjuk
kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
Muslimin
yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sempena HARI IBU
mimbar menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang
terhadap ibu setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar
memberi hadiah dan wang ringgit bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan
kepada ibu. Mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, gembirakanlah mereka
dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Jangan biarkan mereka
kesepian dengan linangan airmata yang sayu lagi pilu. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati
ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa
tertentu sahaja. Ambillah kesempatan
yang ada ini untuk menyayangi sebelum
mereka didatangi ajal. Sebagai
renungan hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih
sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua
sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Surah al-Israa’:24)
(18 MEI 2012 / 26 JAMADILAKHIR 1433H)
No comments:
Post a Comment