Sunday, 19 September 2010

Perpaduan sebangsa merupakan kisah purba

KECENDERUNGAN setiap kaum di Malaysia untuk melihat kekuatan dari segi sentimen perkauman adalah tidak berasaskan kepada realiti sejarah, sama seperti mempercayai kisah purba atau mitos dalam masyarakat moden Malaysia.

Dalam tahun 50-an dan 60-an apabila golongan pelampau Melayu dalam Pas menuntut Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman menghantar pulang semua orang Cina ke negara asal mereka untuk keselamatan Melayu, Tunku telah menjawab bahawa berapa ribu kapal pun disediakan tidak cukup untuk berbuat demikian. Ertinya Malaysia mesti menerima realiti.

UMNO patutlah melupakan sahaja perpaduan Melayu menerusi Pas yang berakar umbi perkauman, keagamaan dan dogma. Sebaliknya UMNO wajar kembali semula kepada jati diri untuk berkerja ke arah memperkukuhkan perpaduan dengan bukan Melayu menerusi MCA dan MIC serta lain-lain parti dengan kesepakatan menolak desakan perkauman.

Kejayaan Perikatan yang terdiri daripada parti utama UMNO, MCA dan MIC adalah kerana menolak sentimen kaum masing- masing serta mengimbangi kehendak mereka. Formula yang berjalan atas sikap tolak ansur dari masa ke semasa telah membawa kemajuan kepada kaum yang diwakili setiap parti komponen dan juga kepada pembangunan kestabilan dan kemajuan ekonomi negara secara menyeluruh.

Bagaimanapun generasi baru semua kaum tidak lagi sensitif terhadap ancaman yang pernah dilalui itu. Ini kerana kemajuan negara yang datang bersama kemakmuran telah melindungi musuh lebih besar dalam selimut yang terus bergerak dengan teratur.

Jika dalam permulaan kerjasama dalam tahun 50-an, Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi faktor penyatuan Melayu, Cina dan India dalam Perikatan tetapi dalam kerakusan pendemokrasian baru, rakyat terlupa kepada ancaman musuh bersama yang telah bertukar dari Gagasan Melayu Raya kepada gerakan militan Jemaah Islamiah Nusantara.

Isu-isu perkauman yang bernafas dalam demokrasi baru telah mengabui mata rakyat, terutama generasi baru Cina sehingga mereka tidak sensitif dengan persembunyian anasir-anasir pelampau dan militan agama ini di bawah ketiak mereka sendiri yang hanya menunggu kesempatan untuk bertindak.

Tindakan pengeboman yang berlaku di Bali dan di Jakarta oleh anasir-anasir ini, tidak semesti tidak akan berlaku di Malaysia kerana bukan sahaja mereka pernah didoktrinkan di Malaysia, tetapi terus mempunyai anasir-anasirnya di pusat-pusat pengajian dan juga dalam parti-parti politik dan institusi tertentu. Setakat ini kerajaan telah berjaya menangani mereka secara berkesan.

Sensitif

Kebanyakan orang Cina terutama golongan muda tidak lagi sensitif atau tidak mengenal musuh sebenar kerana dilindungi harapan kuasa yang menjanjikan hak saksama sedangkan yang mendatang ialah mala petaka.

Malaya dan Malaysia berjaya menjadi negara makmur di Asia adalah kerana rakyat yang memberikan sokongan kepada Perikatan dan Barisan Nasional yang senantiasa sedar dan waspada terhadap musuh tradisi dan musuh baru.

Jika sejarah mahu dijadikan perbandingan, kerjasama Pas dan DAP bukanlah suatu fenomena baru yang seharusnya mengejutkan orang Melayu kerana kerjasama nasionalis-nasionalis kiri Melayu dan Islam dan akhbar Utusan Melayu sendiri dengan pelampau Cina dan golongan komunis Cina telah pun wujud sejak tahun 1947. Mereka terdiri dari kalangan agama, ustaz dan ustazah dan ramai dari keturunan Indonesia.

Musa Ahmad , Samsiah Fakeh, Rashid Maidin, Abdullah C.D. dan lain lain nasionalis Melayu telah berjuang bersama PKM di bawah pimpinan Chin Peng untuk kemerdekaan negara. Tetapi Tunku Abdul Rahman yang berpandangan jauh percaya pada akhirnya China komunis yang akan menguasai rantau ini kerana keupayaan sains dan teknologinya mengatasi orang Melayu.

Malah dalam buku The Communist Party Of Malaya The Inside Story oleh Alyosius Chin terdapat bukti ketakutan PKM terhadap Parti Komunis Indonesia (PKI). PKM tidak begitu bersetuju dengan konfrontasi Indonesia yang dianjurkan oleh PKI kerana kejayaannya akan meletakkan PKM di bawah PKI. Ini menampakkan penolakan terhadap kepimpinan Melayu.

Akhbar Utusan Melayu yang menginisiatif penubuhan UMNO dan menentang Malayan Union juga akhirnya menentang Perlembagaan Persekutuan gagasan British pada tahun 1948 dan bersama- sama dengan All Malayan Council Of Joint Action (AMCJA) yang didokong oleh orang Cina dan juga Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) gabungan parti parti kiri Melayu; Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Gerakan Rakyat Muda (GERAM) menuntut Perlembagaan Rakyat dengan melancarkan Hartal pada 20 Oktober 1947.

Jika Dr. Burhanuddin Hilmi yang berpengetahuan agama tidak nampak bahaya perkauman Cina di sebalik komunisme dan Ustaz Musa Ahmad, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh boleh bersama dengan Chin Peng berjuang di dalam hutan untuk menegakkan sebuah kerajaan komunis di Malaya, maka tidaklah menghairankan jika seorang guru agama yang dogmatik seperti Nik Aziz Nik Mat boleh bekerjasama dengan Lim Kit Siang atau DAP untuk mencapai matlamat Malaysian Malaysia.

Ketamakan kepada kuasa menyebabkan Pas tidak nampak bahaya DAP sebaliknya lebih melihat UMNO sebagai musuh utama. Ini tidak seharusnya mengejutkan orang Melayu kerana sebenarnya ia adalah merupakan suatu ulangan sejarah.

Orang Cina tidak seharusnya melupakan bahawa walaupun Tun Tan Cheng Lock pernah berkerjasama dengan PKM dan lain parti kiri dalam menolak Perlembagaan Persekutuan tetapi PKM telah melakukan suatu percubaan untuk membunuhnya dalam masa Darurat tetapi mendiang bernasib baik sekadar tercedera.

Ini menjadi bukti bahawa perjuangan berasaskan ideologi bersifat keras, tidak memberi kemaafan dan akan menghapuskan siapa juga yang menjadi penghalang kepada ideologi mereka bila ada kesempatan terutama bila sampai ke puncak kuasa. Mereka percaya kekerasan akan memberi kesan berpanjangan.

Sebaliknya Perikatan dan BN mengumpul kekuatan dari masa ke semasa menerusi pragmatisme pimpinannya. Tunku dan Tun Tan Siew Sin sanggup memerangi sentimen kaum masing masing bagi mengekalkan dasar yang diasaskan dengan sikap tolak ansur.

Tunku dengan berani telah menentang sentimen Melayu yang mahu menolak kerakyatan bukan Melayu dan sanggup meletakkan jawatan Perdana Menteri untuk membantu mempastikan kemenangan Tun Tan Siew Sin dalam Pilihan Raya 1959 . Siew Sin menghadapi tekanan kaumnya yang mahukan bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi Malaya. Kemenangannya dalam pilihan raya itu dan menguasai MCA telah meredakan kebangkitan sentimen kaum Cina.

Perkauman

Sesudah 53 tahun merdeka, kebebasan baru telah menggoncang etika dan nilai kawalan sosial dan mendorong kepada kebangkitan sentimen perkauman dan keagamaan, dalam beberapa hal telah juga merangsang parti-parti komponen BN untuk turut membabitkan diri bagi mengekalkan atau mengembalikan pengaruh.

Bagaimanapun perbuatan ini menghilangkan jati diri dan terlihat sebagai kemungkaran yang menjatuhkan imej dan keperibadian parti berkuasa kepada taraf parti peniru atau pak turut.

Dalam keadaan ini sepatutnya setiap parti komponen bukannya mengikut langkah pihak lain atau menuntut perubahan formula penyatuan tetapi harus mengkaji semula pendekatan yang lemah dan salah yang kadang kadang menganggu gugat nilai nilai ikatan.

Umpamanya suatu contoh kecil yang jelas terlihat dalam kalangan orang Melayu ialah jingoisme dalam pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sehingga terasa dan terlihat sebagai hanya kepunyaan dan kebanggaan orang Melayu.

Apabila Tunku Abdul Rahman mencadangkan supaya Bahasa Melayu diistilahkan sebagai Bahasa Malaysia sebagai pendekatan psikologi untuk meluaskan penerimaannya, golongan fanatik bahasa telah membantah. Arahan telah dibuat oleh kabinet sebelum Pilihan Raya Umum 2008 tetapi tidak diendahkan. Perbincangan yang timbul mengenainya memberikan fahaman kepada bukan Melayu bahawa bahasa itu adalah untuk orang Melayu sahaja.

Malah kesempitan dalam pendekatan lebih terserlah apabila iklan promosi bahasa Melayu di papan-papan iklan di lebuh raya hanya menggunakan imej orang Melayu lelaki dan perempuan berpakaian kebangsaan Melayu seolah-olah menggambarkan tidak sahaja mahu bukan Melayu menggunakan bahasa Melayu tetapi hendaklah berbudaya Melayu.

Dalam tahun 1967 golongan fanatik bahasa telah membantah pengekalan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di bawah Akta Bahasa dan akhbar Utusan Melayu dibakar di Dewan dan Pustaka kerana mempertahankan kedudukan bahasa Inggeris. Ini hanyalah suatu kesilapan dalam pendekatan di pihak Melayu tetapi banyak lagi kesilapan di pihak bukan Melayu yang meminta keberanian dari pemimpin- pemimpin mereka untuk melihatnya secara berani dan jujur.

Sewajarnya rakyat Malaysia telah keluar dari kepercayaan mencari kekuatan di atas sentimen kaum masing-masing tetapi mencari pendekatan baru dalam memperkukuhkan nilai-nilai asal yang diasaskan sebagai formula kemerdekaan negara oleh Bapa Kemerdekaan dan rakan rakannya dan telah diperkukuhkan lagi selepas peristiwa 13 Mei.

Pendekatan boleh diperbaharui tetapi tidak di atas tolak ansur kontrak sosial berasaskan Perlembagaan yang ternyata menjayakan negara.

Kita telah dapat melihat bahawa kepercayaan sedarah sedaging sebagai unsur perpaduan telah meleset dalam sejarah sesuatu bangsa. Pembunuhan sebangsa berjuta manusia telah berlaku dalam revolusi Pengawal Merah di China dan revolusi komunis di Kemboja, Ratusan ribu mati dalam pembunuhan sebangsa untuk penghapusan komunis di Indonesia kepercayaan sedarah sedaging antara bangsa Malaysia dan Indonesia telah dijirus dengan najis.

Air ditetak tak akan putus dan beduk lalu kiambang bertaut hanya indah dalam bahasa tetapi sebenarnya suatu kisah purba yang tidak dapat berfungsi dalam dunia moden yang tidak bersempadan.

Apabila parti-parti komponen BN telah bersetuju untuk kembali kepada tradisi dan jati diri maka semua pekara sensitif yang boleh menimbulkan rasa terhina dan kemarahan atau menonjolkan kesombongan dan keegoan sesuatu kaum tidaklah seharusnya dilakukan lagi dengan perbincangan terbuka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah menyatakan kebimbangan terhadap kemunculan isu -isu yang berpunca daripada fahaman pelampau. Sewajarnya parti parti komponen BN sendiri yang menjadi contoh dalam amalan ini.

No comments:

Post a Comment