Wednesday, 4 August 2010

Lubuk Yu bebas bakteria 'maut'

KUANTAN 3 Ogos - Kawasan perkelahan Lubuk Yu di Maran diisytiharkan bebas daripada wabak melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah) dan leptospirosis (air kencing tikus) apabila tiada lagi kes baru dilaporkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, ia berdasarkan tempoh inkubasi terpanjang yang mana kemungkinan untuk mendapat jangkitan adalah 28 hari selepas pendedahan kepada bakteria tersebut pada 26 Jun lalu.

"Bagaimanapun, pusat perkelahan itu masih lagi ditutup untuk siasatan lanjut serta penilaian dan pemantauan semula selepas aktiviti pembersihan kawasan dijalankan pada 22 Julai lalu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Pada akhir Jun lalu, kawasan perkelahan itu diarahkan tutup serta-merta selepas enam orang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan melioidosis dan leptospirosis.

Khai Mun berkata, siasatan dan penilaian tahap risiko itu masih dijalankan oleh Jawatankuasa Kecil Teknikal yang telah dibentuk.

Tambahnya, mereka terdiri daripada para pegawai Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan melaporkan penemuan dan memberi cadangan kepada Jawatankuasa Kecil Bencana wabak Melioidosis dan Leptospirosis yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.

Khai Mun berkata, keseluruhannya terdapat 22 kes disyaki dengan tujuh daripadanya telah meninggal dunia sementara dua kes lagi masih dirawat di hospital.

"Enam kes pula disahkan sebagai melioidosis, empat kes disahkan jangkitan melioidosis dan leptospirosis, 11 disahkan negatif manakala satu kes lagi tidak diambil sampel iaitu kes mati di rumah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment